Laman Bermaklumat

Jabatan Perancangan Bandar

Konsep Pemeliharaan Am - Pemeliharaan Di Dalam Konteks Peningkatan Kualiti Tempat Dan Kepentingan Budaya

Pemeliharaan membawa pengertian yang lebih mendalam lagi dari hanya melihat peranan menjadi sumber tarikan pelancongan. Pengertian sebenarnya adalah berkait terus dengan pemahaman mengenai kepentingan 'tempat' dalam kehidupan kita. Mengikut Marquis-Kyle et al (1992).

"Satu-satunya sebab yang penting untuk memelihara tempat adalah kerana tempat itu mengandungi maklumat-maklumat yang tidak boleh dirakam oleh risalah-risalah, gambar-gambar foto, lukisan, filem atau video. Tidak kira bagaimana cekap sekalipun tempat itu boleh digambarkan melalui filem atau bagaimana menariknya ianya diterangkan melalui media-media lain, tidak ada gantinya bagi sesuatu pengalaman yang dirasakan apabila menghayati tempat secara dengan sebenar-benarnya".

Di dalam risalah 'Burra Charter' dua istilah yang sering digunakan berulang-ulang kali di dalam menekan prinsip-prinsip pemeliharaan adalah 'tempat ' dan kepentingan budaya ". "Tempat" (place) bermaksud tapak, kawasan, bangunan atau kerja-kerja lain beserta sebarang kandungannya yang berkaitan dan sekitarnya. Ini adalah istilah umum yang mahu menunjukkkan bahawa jika sebarang kaitan yang dibuat mengenai tempat, ianya bukan bermaksud hanya kepada monumen atau binaan-binaan sahaja yang terkandung ditempat tersebut, tetapi juga dipengaruhi oleh keseluruhan keadaan kawasan tersebut.

Terdapat tempat-tempat yang perlu dipelihara atas sebab tempat-tempat ini dapat memperkayakan kita dengan cara ianya membantu kita memahami masa silam dan dengan membentuk keanikaan/kepelbagaian di dalam persekitaran masa kini. Melalui tempat-tempat, kita berharap supaya ianya menjadi satu nilai yang berharga peninggalan kita bagi generasi akan datang.

"Kepentingan Budaya" (cultural significance) bermaksud nilai astetik, sejarah, saintifik atau sosial untuk generasi dahulu, sekarang dan akan datang dimana konsep ini berkaitan dengan ciri-ciri bandarayamampan. Pemahaman kita juga tidak harus tertumpu kepada aspek sejarah sahaja.

Kepentingan budaya sesuatu tempat itu dinilai dari segi 'fabrik' nya, perletakannya dan kandungan yang terdapat di dalamnya. Kepentingan-kepentingan tersebut juga terdapat dalam risalah-risalah mengenai sesuatu tempat, di dalam penggunaannya; dan di dalam ingatan orang ramai melalui hubungkait manusia dengan tempat-tempat tertentu.

Pertalian kuat antara tempat dan kepentingan budaya tidak boleh dilihat secara berasingan. Ini disebabkan segala perubahan yang berlaku ke atas sesuatu tempat bergantung/berkait rapat dengan perubahan kepentingan budaya. Oleh itu pemeliharaan tidak boleh hanya dilihat melalui satu sudut, tetapi memerlukan pemahaman, penjagaan dan pengurusan ke atas kedua-duanya secara serentak

Konsep pemeliharaan kawasan-kawasan warisan yang digunakan sebagai pendekatan cadangan-cadangan ini menitik beratkan prinsip-prinsip yang digunapakai secara amnya diperingkat antarabangsa.

Pemeliharaan (conservation) adalah satu istilah umum yang bermaksud:

"segala proses yang terlibat untuk menjaga sesuatu tempat bagi tujuan memelihara kepentingan budaya. Tindakannya termasuk perawatan dan mengikut keadaan-keadaan tertentu termasuk pengekalan, pemulihan, pembangunan semula dan penyesuai-gunaan. Lazimnya kaedahnya merangkumi lebih dari mana-mana satu yang disebut tadi".

Dalam konteks Bandaraya Ipoh, bandaraya ini dilihat berkembang hasil daripada aktiviti ekonomi perlombongan bijih timah. Kemasukan pelombong-pelombong dari luar dan aktiviti-aktiviti yang menurutinya adalah yang berkait dengan perdagangan bijih timah. Berdasarkan kajian awal, terbukti satu ketika dulu Ipoh pernah menjadi pusat pengeluaran bijih timah yang penting bagi wilayah sekitarnya dan pusat pasaran bijih timah dunia. Adalah penting memahami kronologi peristiwa sejarah yang ada pada sesuatu tempat agar pemahaman yang lebih kukuh dan tepat mendorong kepada usaha-usaha meningkatkan perasaan sayang kepada tempat di kalangan penduduk dan masyarakat negara secara amnya.