Laman Bermaklumat

Jabatan Perancangan Bandar

Kesan Pembangunan Pesat Terhadap Imej 'Tempat' Dan Nilai-Nilai Budaya Setempat

Pada ketika ini Malaysia sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat di mana ia telah mencapai tahap yang agak membanggakan sejak beberapa tahun yang lepas. Rata-rata diseluruh negara boleh dilihat pembangunan sedang berlaku dan boleh dikatakan hampir semua golongan masyarakat telah disentuh dengan proses pembangunan ini. Ia selari dengan wawasan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020. Pada tahap pembangunan yang sedang dialami sekarang, adalah tidak mustahil jika Malaysia mencapai wawasan tersebut dalam jangkamasa yang diharapkan.

Di dalam suasana pembangunan yang pesat ini, terdapat juga kesan-kesan sampingan yang dikenalpasti terutamanya pemusnahan sumber warisan binaan akibat tekanan pembangunan terutama kepada kawasan-kawasan lama yang mempunyai nilai-nilai pembentukan imej yang kuat bagi bandar-bandarayautama di Malaysia. Tekanan ekonomi yang dijanakan oleh pembangunan-pembangunan memberi kesan terhadap kenaikan nilai hartanah terutama sekali dikawasan-kawasan lama di sesebuah bandarayakerana perletakannya adalah strategik ditengah-tengah bandar. Ini telah membuat kawasan-kawasan seperti ini mudah terarah kepada bentuk pembangunan baru yang boleh melupuskan nilai-nilai warisan yang ada di kawasan-kawasan tersebut.

 Keunikan imej kawasan-kawasan lama ini adalah bergantung kepada ciri-ciri aktiviti dan senibinaan yang terkandung di dalamnya. Ianya menjadi daya tarikan kepada sesiapa saja yang melihat dan mengalaminya. Ini adalah pasti sekiranya kita melihat tabiat pelancong-pelancong yang melawat tempat-tempat seperti ini di mana jua di dunia. Pelancong-pelancong sering tertarik terhadap khazanah warisan tempatan hasil karya jurubina-jurubina dan tukang-tukang (craftsmen) pada zaman silam yang terdapat pada bangunan-bangunan lama ditempat yang dilawati.

Di bandar-bandaraya seluruh Malaysia sebilangan besar bangunan-bangunan lama adalah terdiri daripada rumah-rumah kedai lama. Ciri atau 'character' bandar-bandaraya ini adalah hasil integrasi dan permainan bahasa 'carapura' (urban language) yang melibatkan bangunan-bangunan sesebuah seperti masjid-masjid, bangunan pentadbiran kerajaan, istana dan rumah-rumah kedai lama. Bilangan rumah-rumah kedai yang banyak dengan keunikan-keunikan yang tersendiri menjadikannya sebagai asas kepada identiti-identiti bandaraya di negara ini.

Apa yang dikesali pada ketika ini adalah bagaimana kita sering mengabaikan kepentingan bangunan-bangunan lama ini. Rumah-rumah kedai dirobohkan semata-mata atas kehendak untuk meningkatkan status atau tahap pembangunan bandaraya dengan ciri-ciri rupa bandaraya yang moden. Pada ketika ini konsep pemeliharaan dan pengekalan masih tidak diterima ramai kerana ianya dianggap sebagai anti-pembangunan.

Perkara ini perlu diteliti dan diberi perhatian supaya pemusnahan secara mendadak dan pemikiran anti pemeliharaan dapat dibendung dan diganti dengan satu konsep pembangunan yang mengambilkira idea-idea pemeliharaan yang dapat mengekalkan nilai-nilai warisan setempat disamping menjamin pembangunan bagi semua.