Sejarah Ipoh

Ipoh yang dinaikkan taraf bandaraya adalah diantara bandar yang terbesar di Malaysia. Ia mempunyai sejarah dan identiti yang tersendiri. Bandaraya yang lahir dari liku-liku sejarah ini telah mewujudkan pelbagai keistimewaan yang bukan sahaja menarik malahan berbeza dengan Bandar-bandar lain di Negeri Perak. Sehingga kini Ipoh terkenal dengan ‘Bandar Bunga Kertas (Bougianvilla)’, Limau Tambun dan Gua Batu Kapur.


Bandar ini bermula dari sebuah perkampungan melayu yang wujud lebih kurang 100 tahun dahulu di tebing Sungai Kinta. Ia diapit oleh Banjaran Titiwangsa di sebelah timur dan Gunung Keledang di sebelah barat. Di samping itu juga Bandar ini dipenuhi dan dikelilingi oleh bukit-bukit batu kapur sehingga menjadikan bandar ini sebuah bandar yang unik serta berbeza dengan bandar-bandar lain di Malaysia.

 

Ciri-ciri rekaan dan senibina di Ipoh seperti bangunan-bangunan yang didirikan di zaman penjajahan masih lagi kekal sebagai mercu tanda, di antaranya ialah Bangunan Stesen Keretapi, Mahkamah Tinggi, Dewan Bandaran dan bangunan-bangunan rumah kedai yang lain. Di samping bangunan lama, bangunan moden juga turut dibina seperti di jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dan Jalan Gopeng. Pada masa ini Ipoh masih lagi kekal dengan campuran bangunan-bangunan lama dan baru sehingga mewujudkan satu panorama yang menarik.


Nama bandar Ipoh berasal daripada nama sepohon pokok. Pokok-pokok ini mengeluarkan getah beracun atau dikenali juga dengan upa. Getah beracun dari pokok itu banyak kegunaannya, ianya telah digunakan oleh masyarakat orang asli untuk memburu binatang. Getah beracun atau upa disalutkan pada mata sumpit dan juga untuk mempertahankan diri serta keluarga mereka.

 

Asal Usul

Ketika Residen Inggeris, Sir Hugh Low ditugaskan di Negeri Perak, beliau ada menyebut dalam tulisannya disekitar tahun 1819 tentang getah beracun atau upa yang diperolehi dari pokok Ipoh Antiaris Toxicaria yang banyak terdapat di waktu itu di kawasan kinta terutama Kampong Parloh. Namun begitu beliau menyebutnya sebagai Epau loghat Inggeris .

Dalam peta negeri Perak yang dikeluarkan oleh penjajah Inggeris dalam tahun 1789 ada tertulis Ipoh sebagai Epau dan Epu.

Dengan itu dapatlah dibuat andaian bahawa tarikh lahir bandar Ipoh disekitar tahun 1880an yang ketika itu hanyalah sebuah perkampungan kecil masyarakat orang asli dan orang melayu yang dikelilingi oleh hutan rimba yang tebal.

Satu lagenda yang menceritakan tentang bagaimana seorang nakhoda dari Tanah Seberang, Tanah Sumatera bersama-sama dengan anak buahnya telah berlayar sehingga sampai melalui Sungai Kinta. Kapal yang mereka naiki tidak dapat meneruskan pelayaran apabila sampai di kaki Gunung Cheroh.

Maka pada malam itu bermimpilah nakhoda itu didatangi oleh Jin, maka namanya ‘Kulub Kinta’ , dia dan anak cucunya nanti akan menjadi Orang Besar Kinta. Akhirnya nakhoda mengambil nama Kulub Kinta dan bersama-sama anak buahnya terus menetap di tempat itu dan keturunannya yang bergelar ‘Dato’ Panglima Kinta’ yang pernah menjadi salah seorang daripada ‘Orang Besar Lapan’ di zaman Kesultanan Perak.

Lagenda ‘jin’ dan ‘nakhoda’ dari Tanah Sumatera itu tidak pernah ada orang yang mengesahkan atau sebaliknya. Tetapi yang amat jelas sehingga tahun 1890an bandar Ipoh merupakan pusat komunikasi utama yang telah menghubungkan dengan pekan-pekan disekitar Negeri Perak dan juga di Semenanjung Tanah Melayu. Ketika itu Ipoh juga adalah tempat sampan berlabuh terutama di kampong Paloh yang ketika itu menjadi tempat tumpuan pelombong-polombong bijih timah ( nama Cina bagi Ipoh ialah Pa-lo ). Ipoh dibentuk serta terus membangun,hasil utamanya ialah bijih timah.

Tidak banyak yang diketahui mengenai Zaman Pra- Sejarah bandar Ipoh selain daripada beberapa bahan penemuan antaranya kawasan penempatan terawal yang dapat dikesan melalui lukisan masyarakat pra-sejarah ( neolitik ) di Gua Tambun yang dapat membuktikan bahawa bandar bandar Ipoh telah dihuni oleh masyarakat pra-sejarah sejak zaman batu awal lagi.

Sejarah

Ipoh terletak di tengah-tengah Lembah Kinta iaitu kawasan yang kaya dengan perusahaan perlombongan bijih timah yang terpenting sekali di dunia pada suatu ketika dahulu. Sungai Kinta yang mengalir seperti ular kena palu itu adalah pembahagi utama bandar Ipoh. Sungai ini merupakan alat perhubungan utama untuk mengangkut bijih timah dari sebuah perkampungan kecil Melayu iaitu Kampong Parloh ( Paloh ), ke kawasan yang berhampiran seperti Sungai Raia. Kampung Parloh merupakan nadi utama kewujudan bandar Ipoh.



Penduduk yang terawal mendiami bandar Ipoh ialah masyarakat orang asli yang diikuti oleh orang Melayu. Mereka inilah perintis dan peneroka bandar Ipoh. Dalam tahun 1879, terdapat seramai 4623 orang melayu yang mendiami dipersekitaran dan kawasan-kawasan yang berhampiran dengan bandar Ipoh.

Mereka ini telah menjalankan aktiviti perusahaan perlombongan bijih timah secara kaedah mendulang dan lombong siam iaitu secara tradisional. Bijih timah dibawa dengan tongkang dan sampan melalui Sungai Kinta. Beberapa tahun kemudian Kampung Parloh telah berubah dan menjadi sebuah pusat perdagangan dan pengagihan bijih timah. Orang-orang asing yang berhijrah seperti orang-orang Cina, India dan Eropah mula menumpu di kawasan-kawasan tersebut dan berkongsi dengan orang-orang Melayu bagi menjalankan perusahaan perlombongan bijih timah. Rumah-rumah kedai dan rumah tempat kediaman mula bertambah seperti cendawan di kawasan persekitarannya. Major R.F. Walker dalam Sikh Annual Report Tahun 1888 telah menyebut bahawa cuma terdapat 227 buah rumah ketika itu di Ipoh. Lima puluh buah diperbuat dari konkrit, seratus tujuh puluh lima buah beratap genting dan zink. Secara beransur-ansur Kampung Parloh sedikit demi sedikit kehilangan identitinya. Sungai Kinta yang mula cetek mempercepatkan lagi pembangunan kawasan-kawasan penempatan baru seperti Epu ( Ipoh ), Kampung Sultan Ismail ( Pengkalan Pegoh), Tobing Tinggi ( Tebing Tinggi ) dan Qualla Parit ( Kuala Pari ).

Adalah dipercayai keluarga Dato’ Panglima Kinta yang mula-mula mendiami dan berkampung serta membangunkan bandar Ipoh sejak abad ke 16 lagi. Mengikut cerita orang tua-tua seorang nakhoda dari tanah sumatera telah samapai di Lembah Kinta dan menamakan dirinya Kulub Kinta menggunakan gelaran ‘ Yang Di Pertua Kinta’. Tun Tambak bin Maharaja Nara Wangsa Nyior Manis adalah Panglima Kinta yang pertama. Mereka memiliki seluruh kawasan Ipoh dan kawasan Kampung Paloh. Keluaga ini telah menjalankan pentadbiran di kawasan- kawasan tersebut.

Setelah perusahaan perlombongan bijih timah bertambah maju dan kawasan bertambah berkurangan ada di antara orang melayu yang sanggup menjual tanah mereka. Dua faktor penting menyebabkan orang melayu sangup mmenjualkan tanah kampong mereka ialah kerana tawaran tanah baru dan wang pampasan serta kampong mereka selalu dilanda banjir.

Pada ketika itu Ipoh hanyalah sebuah kampong yang kecil mempunyai beberapa pondok berbumbungkan atap nipah dengan penduduknya seramai 200 orang. Setelah bijih timah dijumpai di kawasan sekitarnya, ramailah para pelombong dari lain-lain bahagian Negeri Perak dan dari tempat-tempat lain bertumpu ke Lembah Kinta. Kemudian Ipoh memainkan peranan sebagai sebuah pekan untuk bekalan keperluan para pelombong. Bandar Ipoh mula menjadi pesat dengan pelbagai kegiatan dan aktiviti perniagaan.

Dalam tahun 1890, sebuah jambatan kayu telah dibina menyeberangi Sungai Kinta untuk kemudahan orang ramai. Ipoh membesar sehingga menjadi salah sebuah daripada pekan yang terbesar dalam Daerah Kinta. Dengan majunya perusahaan bijih timah, Ipoh menjadi bertambah penting lagi. Mulai saat itu, Ipoh terus bergerak dari sebuah perkampungan perlombongan bijih timah menjadi pusat perdagangan yang dapat menarik ramai pelabur dari luar.

Dua tragedi yang paling sedih pernah dialami oleh bandar Ipoh iaitu pada 01 June 1892 satu kebakaran besar telah berlaku mengakibatkan kemusnahan 123 buah rumah kediaman dan kedai. Kemudian diikuti pula banjir besar dalam tahun 1926. Namun begitu bandar Ipoh terus membangun tanpa menoleh ke belakang lagi.

Evolusi bandar Ipoh dari sebuah perkampungan pasar hingga menjadi bandaraya mengambil masa satu abad. Dengan terjadinya ia sebuah bandaraya, penduduknya boleh merenung ke belakang. Dengan rasa bangga terhadap pencapaiannya yang cemerlang itu. Semuanya ini adalah usaha orang-orang yang berpandangan jauh dan juga kerana unsu-unsur semulajadi.

Sejak Lembah Kinta dikenali sebagai wilayah “galian” terkemuka di rantau ini, Ipoh semakin hari semakin maju. Bilangan penduduknya juga bertambah. Dalam tahun 1902, terbinalah sebuah institusi Kewangan Chartered Bank yang diikuti oleh pembinaan bank-bank lain, termasuk HongKong dan Shanghai Bank.

 

Perlombongan

Di awal tahun 1880-an, Ipoh hanyalah sebuah perkampungan yang mengandungi sebuah pasar, beberapa buah rumah atap dan beberapa ratus orang penduduk. Hanya dua buah jalan kereta lembu yang menghubungi Gopeng ke Kota Bharu [Perak] dan Papan ke Batu Gajah.

Perusahaan perlombongan bijih timah agak begitu lembap kerana jalan raya yang tidak sempurna. Di samping itu, pergaduhan puak-puak Gee Hind dan Mei San juga turut juga membantutkan pengeluaran bijih timah di Lembah Kinta.

Bijih timah dari Kinta dibawa melalui sungai ke Teluk Anson sebelum dihantar oleh kapal ke Pulau Pinang. Bekalan makanan juga terpaksa melalui jalan yang sama dan mengambil masa selama seminggu.

Seseorang yang ingin ke Kula Kangsar terpaksa melalui sungai ke Teluk Anson sebelum menumpang kapal api ke Pulau Pinang. Selepas itu, sekali lagi melalui sungai ke Larut. Dari Larut barulah mereka menggunakan jalan darat ke Port Weld dan akhirnya ke Kuala Kangsar. Perjalanan ini mengambil masa dua minggu.

Ipoh mula bertukar wajah apabila pergaduhan puak-puak yang bertentangan tamat. Sistem pengangkutan mula diperbaiki dan Ipoh kini masuk era perkembangan dan pembangunan yang amat pesat.

Kedatangan pelombong-pelombong Cina dari Pulau Pinang, Larut dan Teluk Anson dipertengahan 1880-an telah merubah sosio-ekonomi penduduk Kinta dan Ipoh.

Masyarakat melayu dan orang asli yang tinggal di tebing Sungai Kinta menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi tukar menukar barangan dengan Inggeris. Kedua-dua kaum yang dikira terbesar iaitu Melayu dan Cina menjalankan kegiatan-kegiatan perusahaan perlombongan bijih timah.

Dalam tahun 1889, kawasan Kinta mengeluarkan 63,367 pikul bijih timah setahun. Pengeluarannya meningkat ke 130,185 pikul di dalam tahun 1890.

Sejak tahun 1890, Lembah Kinta merupakan pengeluar bijih timah terbesar di Malaya dan status ini telah memperkukuhkan lagi dengan beberapa factor penting di antaranya:-


a) Terjumpanya kawasan melombong bijih timah di tambun, Lahat dan Menglembu.
b) Penubuhan Syarikat Perniagaan Selat di penghujung abad ke 19 yang beribu pejabat di Ipoh.
c) Kedatangan para pelombong Eropah yang membawa teknologi kapal korek.
d) Penubuhan Dewan Perlombongan Perak di Ipoh yang telah berkembang menjadi Dewan Perlombongan Negara-negara Bersekutu dan akhirnya Dewan Perlombongan Negeri-negeri Malaya.
e) Ipoh juga merupakan ibu pejabat Persatuan Pelombong-pelombong Cina dan Dewan Perlombongan Bumiputera Malaya.


Dengan itu tidak hairan semenjak 1890, pengeluaran bijih timah di Lembah Kinta semakin meningkat [13,000 tan] setahun sehingga 60 peratus dari pengeluaran bijih timah Negara datangnya dari negeri Perak. Pengeluaran bijih timah di Lembah Kinta sahaja melebihi mana-mana Negara di dunia seperti Bolivia, Thailand dan Indonesia.

Di samping itu, bandar Ipoh tidak lupa jasa dua orang tokoh pelombong Cina yang membangunkan bandar tersebut. Tokoh-tokoh yang dimaksudkan itu ialah Mr. Leong Sin Nam dan Mr. Wu Chong Eik. 

Dalam tahun 1909, Mr. Leong Sin Nam telah membeli beberapa buah lombong dan kebun getah. Beliau telah membawa orang-orang Cina bekerja dengannya di samping melibatkan dirinya sebagai seorang wakil Koumintang Malaya. Beliau juga diberi kepercayaan oleh penjajah Inggeris sehingga dilantik menjadi Ahli Parlimen Pentadbiran Inggeris. Beliau telah mendapat satu penganugerahan Pingat King Goerge V dan V1 sebagai menghargai jasa-jasa beliau.

Tokoh kedua, Mr. Wu Chong Eik datang ke Malaya Ketika berusia empat tahun sebelum berhijrah ke Ipoh. Beliau pernah bekerja sebagai pembantu kedai di Pulau Pinang. 

Mr. Wu Chong Eik datang ke Ipoh ketika berusia 22 tahun dan lapan tahun kemudian telah memiliki kawasan perlombongan di Tronoh, Pusing, Tanjung Tualang dan Menglembu.

Pemerintahan

CORAK PEMERINTAHAN

Dari kajian sejarah, Ipoh sebenarnya terletak di atas tanah milik Dato’ Panglima Kinta. Keluarga inilah yang mula-mula mentadbir dan membangunkan Ipoh. Perak yang kaya dengan bijih timah menyebabkan British campur tangan dan cuba menguasai negeri ini.

Perjanjian Pangkor pada 1874, bermulanya era campurtangan kuasa barat di Perak. System Residen merupakan system pentadbiran British secara tidak langsung di negeri-negeri Tanah Melayu. Di Perak system Residen ditentang oleh orang Melayu.

Apabila Perang Dunia Kedua meletus Eropah dalam tahun 1939, Negeri Jepun telah bersekutu dengan Jerman dan Itali. Penglibatan Britain, Perancis dan Belanda dalam Perang Dunia Kedua telah member peluang kepada Jepun untuk memperluaskan kuasanya di Asia Tenggara.

Jepun telah menyerang Asia Tenggara yang kaya dengan bahan-bahan mentah. Pada 8 september, 1941, Jepun telah menyerang Tanah Melayu dan pada 15 Februari 1942 seluruh Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun menyebabkan pihak British terpaksa berundur. Pentadbiran Jepun adalah bersifat ketenteraan dan Ipoh mengalami beberapa masalah dalam pemerintahan Jepun yang berjalan selama 3 tahun.

Yang menghairankan, pihak pemerintahan militant Jepun telah membuat dasar yang menyebabkan Ipoh membangun. Beberapa minggu selepas penutupan Malaya. 1942 pihak Jepun telah mengubah ibu Negeri Perak dari Taiping ke Ipoh.

Pendudukan Cina telah mewujudkan Parti Komunis Malaya. Bandar Ipoh telah diletakkan sebagai bandar terbanyak berlakunya insiden-insiden yang telah dilakukan oleh pihak Komunis. Antaranya tiga orang Eropah telah dibunuh oleh pengganas Komunis berhampiran dengan Sungai Siput pada 16 Jun, 1948.

Selepas bebas dari kesulitan ini bandar Ipoh akhirnya berkembang sebagai bandar paling cepat membangun diikuti oleh Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Semasa pihak British mengambil alih pemerintahan dari Jepun perubahan telah berlaku dan Ipoh telah berubah dengan berbagai program pembangunan yang menarik perhatian pada usahawan dan industri.

Pra Merdeka

PERKEMBANGAN BANDAR IPOH SEBELUM MERDEKA

Perak merupakan Negeri Melayu yang pertama menerima campurtangan British iaitu pada bulan Januari, 1874. Keputusan untuk campurtangan dalam hal ehwal Perak dibuat oleh Sir Andrew Clarke. Keadaan huru-hara di Perak disebabkan oleh perebutan takhta kerajaan dan pertelingkahan antara kongsi-kongsi gelap Cina.

Fenomena ini telah memberikan kesempatan kepada Sir Andrew Clarke untuk campurtangan di dalam pentadbiran Negeri Perak. Ianya merupakan titik peralihan yang penting dalam sejarah Semenanjung Tanah Melayu. Campurtangan Sir Andrew Clarke melambangkan permulaan dasar British untuk mengeksploit sumber-sumber ekonomi Negeri-negeri Melayu.

Dasar tersebut akhirnya telah mengubah corak ekonomi Semenanjung Tanah Melayu daripada system sara diri kepada system yang berorientasikan eksport. Pembangunan ekonomi yang besar di bawah pentadbiran British seterusnya mengakibatkan penghijrahan orang Cina dan orang India.

James Wheeler Woodford Birch memegang jawatan Residen British yang pertama di Perak pada bulan November 1874. J.W.W birch tidak mendapat kerjasama dari Sultan Abdullah dan lain-lain pembesar Melayu di Perak. Mereka tidak bersetuju dengan cara pemerintahan dan pembaharuan-pembaharuan yang dilaksanakan oleh J.W.W Birch. Penentangan system Residen oleh orang Melayu berkesudahan dengan pembunuhan J.W.W. Birch pada 02 November, 1875.

Kemudian Hugh Low dilantik sebagai Residen Perak pada bulan Februari, 1877. Perlantikan beliau menandakan permulaan satu zaman yang lebih aman dan mewah di Perak. Hugh Low merupakan pengasas Perak Moden. Hugh Low berjaya membangunkan ekonomi Negeri Perak.

Dalam tempoh 12 tahun, beliau Berjaya menjelaskan hutang negeri sebanyak RM 800,000.00 dan menghasilkan imbangan kredit sebanyak RM 1,500,000.00. Hasil Negeri Perak daripada RM 388,372.00 pada tahun 1879 ke RM 1,827,476.00 pada tahun 1887.

Pembangunan industri perlombongan bijih timah bukan sahaja mengubah infrastruktur Lembah Kinta malah bertanggungjawab membangunkan kepadatan penduduk bandar terebut.

Dalam tahun 1886, sebuah rumah rehat dan mahkamah telah didirikan. Pada tahun yang sama, sebuah titi kayu dibina menyeberangi Sungai Kinta dan kemudian di tapak yang sama digantikan dengan jambatan baru.

Sebuah jalan keretapi yang menuju ke Gopeng juga siap untuk digunakan. [ tetapi ketika itu, Gopeng masih lagi merupakan pekan terbesar kerana mempunyai panggung beratap genting yang boleh memuatkan 1,000 orang ]. Sebelum tahun 1889, rumah sakit utama terdapat di Gopeng dan Batu Gajah menggantikan rumah sakit Kota Bharu [Perak].

Dalam tahun 1889 dan 1890, beberapa buah pejabat kerajaan dibina disekitar Jalan Kelab, Jalan Stesen, Jalan Belfields dan Jalan Hills [ yang mana kini nama-nama jalan ini sudah pun berubah]. Menjelang 1890, Ipoh sudah pun menjadi penempatan terbesar di Lembah Kinta. 

Bandar Ipoh juga bangga kerana dianggap pekan yang terawal di Malaya yang mementingkan pendidikna. Misalnya, Sekolah Anglo Chinese, St. Michael Instituition dan Sekolah Menengah Anderson merupakan sekolah tertua di Malaysia [Sekolah Anglo Chinese ditubuhkan dalam tahun 1895 dan Guru Besar pertamanya ialah Paderi W.B. Horley ].

Dalam tahun 1895 Ipoh sudah pun mempunyai 10 buah sekolah-sekolah Inggeris, 84 buah sekolah-sekolah Melayu, 2 buah sekolah-sekolah Tamil dan beberapa buah sekolah-sekolah Cina. Dengan ini jelas membuktikan bahawa warisan penduduk Ipoh adalah terdiri dari golongan yang berpendidikan.

Tahun 1895 hingga Perang Dunia Pertama adalah merupakan zaman pembangunan pesat bagi bandar Ipoh. Ipoh kini sudah boleh diberi gelaran sebagai sebuah bandar.

Kalau Mr. Leong Sin Nam dan Mr. Wu Chong Eik dikenang kerana telah member sumbangan di bidang meneroka bijih timah, Mr. Yau Tet Shin dan Encik Yeop Abdul Rani Idris pula banyak berjasa kepada infrastruktur bandar Ipoh.

Penduduk Ipoh semakin bertambah dari tahun 1905 hingga 1914. Seorang tauke Cina, bernama Mr. Yau Tet Shin bercadang untuk membangunkan kawasan di seberang Sungai Kinta [Pekan Baru]. Sehingga tahun 1906 beliau telah berjaya membina 216 buah rumah di Pekan Baru, sebuah panggung wayang Cina dan sebuah pasar baru, [dari saat itu penduduk Ipoh biasa mendegar perkataan ‘Pekan Baru’ bagi menyatakan tempat tinggal atau arah hendak dituju].

Setelah wujudnya Pekan Baru dan Pekan Lama ini, pengangkutan juga semakin diperlukan. Di sinilah pada tahun 1910, seorang anak tempatan bernama Encik Yeop Abdul Rani Idris telah memulakan system perkhidmatan bas yang pertama di Ipoh.

Sebuah bas dari Jalan Hugh Low telah memulakan perkhidmatan ke Jalan Laksamana dan terus ke Gopeng. Pada tahun 1914, perkhidmatan bas Encik Yeop Abdul Rani Idris semakin maju sehingga mampu memberi kemudahan pengangkutan kepada lebih kurang 27,500 penduduk bandar Ipoh ketika itu. Jasa kedua-dua tokoh ini akan tetap dikenang hinggan ke saat ini.

Di samping pengangkutan jalan raya, perkhidmatan keretapi juga merupakan kemudahan utama bagi penduduk Ipoh tetapi buat permulaan keretapi digunakan untuk mengangkut bijih timah. Keretapi seumpama itu siap dibina dalam tahun 1917.

Jika dalam tahun 1892 pernah berlaku tragedi kebakaran di Ipoh dan dalam tahun 1926 pula berlaku lagi satu malapetaka iaitu banjir besar yang melanda bandar Ipoh. Tetapi seperti juga peristiwa kebakaran, banjir ini juga telah membuka peluang para perancang bandar Ipoh untuk membaiki pelan struktur bandar tersebut.

Satu skim mengurangkan bencana banjir telah dilancarkan dan hingga sekarang bandar Ipoh tidak lagi dilanda banjir besar. Bekalan elektrik juga mula dinikmati oleh penduduk Ipoh pada tahun 1923.

Pembangunan Ipoh ternyata amat pesat. Dari pertengahan 1880-an hingga 1923, iaitu dalam lebih kurang 40 tahun sahaja, Ipoh sudah menjadi sebuah bandar besar.

Seperkara lagi yang perlu diingat, di samping mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi serta pembangunan infrastrukturnya yang pesat, penduduk Ipoh juga beruntung kerana kehidupan seharian mereka dikawal oleh undang-undang. Sejarah mengenai bagaimana system perundangan diperkenalkan kepada penduduk Ipoh amatlah menarik sekali.

 

Sanitary Board

PENTADBIRAN SANITARY

Untuk menampung keperluan social dan pembangunan bandar Ipoh yang pesat membangun ketika itu sebuah badan yang dikenali sebagai Sanitary Board telah ditubuhkan pada tahun 1893 dalam bulan Mac.

Ia merupakan badan yang pertama di daerah Kinta selain yang sudah ada di Taiping yang menjadi ibu kota negeri Perak ketika itu. Ipoh Sanitary Board diasaskan oleh seorang pegawai British iaitu Sir Frank Swettenham yang kemudiannya menjadi Residen British di negeri Perak. Badan ini adalah berasaskan keperluan dan berfungsi seperti apa yang terdapat sekarang ini.

Sejak tarikh tersebut beberapa perlembagaan dapat dilihat di dalam badan tersebut. Mulai tahun 1893 hingga 1897 Sanitary Board mempunyai bidang kuasa yang amat terhad iaitu di Lahat, Tekka ( Menglembu ) dan bandar Ipoh sendiri. Dalam tahun 1897 badan ini telah digantikan dengan Kinta Sanitary Board telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Kinta Utara ( North ) dan Kinta Selatan ( south ). Kinta Sanitary North berpusat di bandar Ipoh manakala Kinta Sanitary South berpusat di Batu Gajah. Selepas tempoh sepuluh tahun, kedua-dua bahagian ini digabungkan kembali sehinggalah kedatangan tentera Jepun dalam Tahun 1941.

Tidak terdapat sumber-sumber mengenai Ahli-Ahli Sanitary Board pertama dalam tahun 1893 namun besar kemungkinan Ahli-Ahlinya adalah terdiri dari Ahli-Ahli yang terdapat di dalam badan tersebut dalam tahun 1894.

Ahli sanitary Board

1894

Dalam tahun 1894 terdapat sebelas orang Ahli sanitary Board. Di antaranya ialah enam orang pegawai.

Chairman Dr.C.H. Wheller Acting District Surgeon
Secretary J.F. Ward Surveyor and Engineer di PWD
Officials

H.L. Hulbet Assistant District Majistret

Lieut H.C. Metcalfe of The Perak Sikh

William Cowan Ass. Protector of Chinese

Unofficial Members
 

Dato’ Panglima Kinta Mohamad Yusof

Tauke Leong Fee

Tauke Yau Tet Shin

E.M. Alexander

F.D. Osborne


Kebanyakan ahli tidak rasmi 'unofficials' kekal untuk satu tempoh yang lama. Pegerusi badan ini akan bertukar dari masa ke semasa seperti Brewster yang kemudiannya menjadi Residen di negeri Pahang, Douglas, Thompson Residen di negeri Perak, Green namanya diambil untuk Green Town, Sturrock Club, Kidd yang terbunuh di zaman pemerintahan Jepun dan Cockman.


Chairman Of Local Government Bodies In Ipoh 1893-1962. Below is a list of the chairman of the successive municipal bodies in Ipoh, with the dates of their appointment.

1893-1897

Sanitary Board, Ipoh [1893-1897]

Tahun

( Chairman Unknown ) 1893
Dr. C. H. Wheeler 1894
R.D. Hewett 1895
D. T.K. Osborne 1897

 

1897-1904

Kinta Sanitary Board [1897-1904]

Tahun

R.D.Hewett 1897
A.L. Ingall 1899,1901
Cecil Wray 1900,1903
R.C. Grey 1901,1902
E.J. Brewster 190

 

1905-1915

Kinta Sanitary Board North [1905-1915]
Tahun
E.J. Brewster 1905
F.J. Weld 1906
F.W. Douglas 1907
N. Kendall 1910
B.W. Elles 1911
A.S. Jelf 1914

 

1916-1941

Kinta District Board [1916-1941] Tahun
A.S. Jelf 1916
C.N. Maxwell 1917
H.W. Thompson 1918
R.J. Farrer 1919
R.O. Winstedt 1919
H.C. Sells 1919
C.F.J. Green 1920
E.W.F. Gilman 1921
Capt. Meadows-Frost 1922
A.J. Sturrock 1922-1924
H.C. Bathurst 1924
A.B. Jordan 1927
Major S.M. Kidd 1928
E.A.P. Helps 1931
G.H. Nash 1933
B.S. Walton 1933
Capt. A.V. Aston 1935
Major H.J. Cockman 1938-1941

 

1946

Kinta District Board [1946]
[British Military Administration]
Tahun
Wing Cdr.R. Randle 1946
Major J.S. Drake 1946

 

1946-1954

Town Board, Kinta [1946-1954] Tahun
Major J.S. Drake 1946
Lieut. Col. R.F.H 1946
Drake-Brockman  
J.M. Brander 1948,1951
C.B. Molony 1950
I. Lloyd-Phillips 1954

 

1954-1956

Ipoh And Menglembu Town Council [1954-1956] Tahun
G.S. Walker 1954

 

1957-1962

Ipoh Town Council [1957-1962] Tahun
En. Abdullah Bin Udi 1957
En. Jaafar bin Mohamad Taha 1959
E.G. Waller 1959