Panduan Permohonan
PANDUAN PERMOHONAN KEBENARAN MERANCANG BAGI TAPAK DAN MONUMEN WARISAN KEPADA PESURUHJAYA WARISAN
Permohonan kebenaran merancang pembangunan di kawasan RKK perlu dibuat oleh pemohon kepada Majlis Bandaraya Ipoh sebagai Pihak Berkuasa Tempatan menurut kaedah biasa seperti mana yang diperuntukkan dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172].
Permohonan kebenaran merancang tapak dan monumen warisan juga tertakluk kepada Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), yang mana sesuatu pembangunan di sebuah kawasan yang telah diisytihar sebagai kawasan warisan perlu mematuhi kaedah-kaedah jelas untuk memajukannya tanpa menjejaskan tapak dan monumen warisan. Kaedah-kaedah yang diperuntukkan oleh Akta 645 adalah seperti berikut :
- Semua permohonan kebenaran merancang yang melibatkan tapak warisan hendaklah dikemukakan kepada OSC MBI dan diedar ke Bahagian Warisan, Jabatan Perancang Bandar MBI untuk mendapatkan ulasan daripada Jabatan Warisan bagi membolehkan ia diselaraskan. Pesuruhjaya Warisan boleh memberi nasihat kepada MBI sebelum apa-apa kebenaran merancang diluluskan.
- Bagi semua permohonan yang melibatkan tapak dan monumen warisan, pemohon hendaklah menyediakan butir-butir yang lengkap di dalam Laporan Impak Warisan seperti berikut :
- Butir-butir tentang tapak atau monumen yang dimaksudkan oleh permohonan itu, termasuk pelan susunaturnya, pelan bangunan terukur dan fotografi setiap sudutnya, termasuk bahagian luar dan bahagian dalam monumen itu;
- Apa-apa pelan dan lukisan yang lain sebagaimana yang diperlukan untuk memperihalkan kerja dan permohonan tersebut;
- Butir-butir lengkap menerangkan langkah-langkah yang telah diambil bagi memastikan keselamatan tapak warisan dan tanah yang berdekatan; dan
- Lain-lain perincian tambahan sebagaimana yang dikehendaki oleh Pesuruhjaya Warisan.
3. Laporan Impak Warisan (HIA) perlu dengan jelas memperincikan langkah-langkah keselamatan tanah yang berdekatan dan tanah ini bermaksud :
- Mana-mana tanah yang bersempadanan dalam lingkungan dua ratus meter (200 meter) dari sempadan tanah yang dimaksudkan oleh permohonan,
- Mana-mana tanah yang terpisah dari tanah yang dimaksudkan oleh permohonan yang dibuat oleh mana-mana jalan, lorong, parit atau tanah rizab yang lebarnya tidak melebihi dua puluh meter dan yang akan menjadi bersempadanan dengan tanah yang dimaksudkan oleh permohonan itu; atau
- Mana-mana tanah yang terletak dalam lingkungan dua ratus meter dari sempadan tanah yang dimaksudkan oleh permohonan di bawah seksyen ini.
Rujuk Rajah 3.1 untuk maksud tanah-tanah bersempadanan dengan monumen.
4 . Pesuruhjaya Warisan melalui MBI boleh mengenakan syarat-syarat apabila memberikan kebenaran merancang yang melibatkan suatu tapak warisan yang boleh termasuk :
- menghendaki pematuhan mana-mana garis panduan dan tatacara pemuliharaan yang dikeluarkan oleh Menteri;
- menghendaki pembayaran apa-apa kerosakan yang disebabkan kepada mana-mana tapak warisan selepas kerja yang dibenarkan oleh kebenaran merancang atau perintah pembangunan itu selesai; atau
- menghendaki perlindungan dan pengekalan mana-mana ciri tertentu tapak warisan itu.
5. Jika kebenaran merancang diberikan, Pesuruhjaya Warisan hendaklah berhubung, bekerjasama dan menyelaraskan dengan MBI untuk memantau dan mengawasi pemohon agar terma dan syarat yang dikenakan yang berhubung dengan pemuliharaan warisan dipatuhi oleh mereka.
6. Pemohon yang melanggar mana-mana syarat yang dikenakan di bawah subseksyen (4) akta ini telah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Garispanduan Umum
GARIS PANDUAN UMUM PEMULIHARAAN TEKSTUR DAN CIRI-CIRI ASAL BANDAR
Faktor pemeliharaan bandar menitikberatkan pemeliharaan dan pemuliharaan tekstur dan ciri-ciri asal bandar sebaik mungkin di dalam konteks warisan yang tepat seperti berikut:
Memelihara Rupa Bumbung Curam Terracotta
Bumbung curam terracotta merupakan karektor dan ciri-ciri unik dalam bandar warisan dengan fabrik bandar yang mempunyai nilai-nilai warisan yang tinggi. Bumbung curam hendaklah dikekalkan dalam mana-mana pembangunan yang dilakukan dalam kawasan warisan. Sebahagian bumbung dalam Pekan Ipoh dibina dengan bumbung terangkat jack roof untuk tujuan ventilasi, yang dibina menggunakan kayu disokong oleh kobel dengan pelbagai skala panjang.

Mengawal Latar Langit Bandar Dengan Kawalan Ketinggian Bangunan
Nilai keunggulan sejagat (OUV) selalunya dikaitkan dengan keupayaan visual ke arah monumen dan bangunan bersejarah dan kesinambungan rupa bentuk bumbung. Kawalan ketinggian bangunan penting untuk memastikan bangunan baru yang dibina mengambilkira elemen–elemen tersebut.
Rupa bentuk alam bina yang seperti ini wajar dikekalkan tidak sahaja pada bahagian fasad tetapi juga pada rupa profil. Ketinggian yang boleh dibenarkan dalam kawasan warisan untuk bangunan baru hendaklah mematuhi ketinggian purata bangunan-bangunan lama di dalam kawasan yang sama, manakala bagi bangunan yang terletak dalam deretan bangunan yang masih terpelihara dengan baik, ketinggian bangunan adalah tertakluk kepada rupa keseluruhan yang sensitif.

Kawalan latar langit dan skap Bandar Warisan Ipoh
Bangunan Sisi
Bangunan sisi merupakan karektor bandar warisan yang sangat menarik dengan fasad yang serong (chamfered). Fasad yang serong ini direka bentuk untuk diselaraskan dengan reka bentuk jalan. Bangunan sedia ada dengan fasad serong hendaklah dikekalkan untuk kesinambungan. Bangunan infill hendaklah direka bentuk dengan tipologi yang sama bagi mengekalkan reka bentuk keseluruhan.

Telaga Udara
Salah satu karektor yang unik dalam reka bentuk rumah kedai adalah telaga udara yang merupakan elemen penting untuk mengekalkan keselesaan dalam bangunan. Telaga udara adakalanya lebih dari satu unit, iaitu bergantung kepada panjang rumah kedai. Telaga udara hendaklah dikekalkan bagi memastikan karektor unik rumah kedai dipelihara dan juga sebagai salah satu elemen Green Building Index (GBI) untuk keselesaan bangunan.

Pandangan Dari Jalan
Bangunan rumah kedai adalah karektor tipologi bangunan yang banyak terdapat dalam core zone yang dibina dalam bentuk deretan. Fasad baru untuk pembangunan infill hendaklah mematuhi elemen yang terdapat pada fasad tradisional ini, iaitu dengan mematuhi elemen-elemen menegak dan mendatar dan skala untuk memastikan pembangunan baru supaya harmoni dengan persekitaran warisan.
Meniru gaya sedia ada (imitation) adalah tidak digalakkan. Bangunan yang terletak dalam lot banglo hendaklah tidak dihalang pandangan visual dari tepi jalan dengan pagar tinggi, pembangunan baru dan struktur lain seperti pondok pengawal dan lain-lain.
Kaki Lima
Kaki lima merupakan elemen penting dalam reka bentuk rumah kedai yang dibina sama ada berbentuk lurus atau berbentuk arch. Bangunan warisan kategori 2 hendaklah mengekalkan kaki lima dan pembangunan baru hendaklah mempunyai kaki lima yang boleh disambungkan terus ke kaki lima sedia ada.

Memelihara Dinding Pemisah, Halaman, Dinding Sempadan, Perabot Jalan Dan Pintu Pagar
Struktur bandar yang bersejarah seperti elemen-elemen ini hendaklah dikekalkan dan dipelihara. Elemen ini terdapat dalam tipologi rumah bandar. Pembangunan dan tambahan pada bangunan warisan sedia ada hendaklah mengekalkan semua elemen yang berkenaan.
Pengecualian Anjakan dan Pelebaran Lorong Belakang
Anjakan bangunan untuk pelebaran lorong belakang dalam semua jenis pembangunan dalam core zone dikecualikan. Ini bagi mengekalkan garisan bangunan sedia ada.
Kawalan Kebakaran
- Bangunan digunakan untuk kediaman
- Bangunan rumah kedai adalah tertakluk kepada kehendak–kehendak Jabatan Bomba dan Peyelamat semasa proses tukar guna dan pindaan dilakukan. Rumah kedai yang digunakan sebagai rumah kediaman perlu melakukan pindaan dan tambahan elemen-elemen penting untuk mematuhi kehendak-kehendak berkenaan. Adalah penting sekiranya satu pendekatan yang lebih baik dan khas dirangka supaya bangunan rumah kedai ini boleh membuat pindaandan tukar guna dan pada masa yang sama selamat untuk dihuni.
- Bangunan digunakan untuk komersil
- Bangunan yang ditukar guna untuk komersil perlu mematuhi kehendak-kehendak Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk tujuan keselamatan. Walau bagaimanapun, pematuhan hendaklah dilakukan dengan kreatif supaya elemen-elemen menarik dalam bangunan tidak terjejas. Jika pindaan yang terlalu banyak dan perancangan dalaman tidak bersesuaian, kemungkinan bangunan tersebut tidak sesuai untuk ditukar guna. Untuk bangunan kategori 1, pematuhan tambahan perlu dielakkan bagi mengurangkan pindaan–pindaan yang perlu dilakukan.
- Bangunan digunakan untuk pelbagai guna
- Penggunaan bangunan sedia ada untuk tujuan pelbagai guna di mana terdapat penggunaan komersil di tingkat bawah dan tempat tinggal di bahagian atas perlu mematuhi kehendak-kehendak Jabatan Bomba dan Penyelamat. Pendekatan yang kreatif dan sensitif perlu diambil bagi meminimakan pindaan dan memaksimumkan keselamatan. Pematuhan kehendak-kehendak berkenaan perlu dilakukan sejajar dengan undang-undang bangunan sedia ada.
- Bahan binaan untuk tujuan kawalan kebakaran
- Kawalan kebakaran bertujuan untuk memastikan penghuni selamat keluar dari bangunan semasa kecemasan melalui tangga kecemasan. Cabaran utama adalah bagaimana untuk menguruskan bahan sedia ada yang mudah terbakar dalam proses untuk mematuhi kehendak-kehendak seperti yang tertakluk dalam undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (Uniform Building By Law 1984) Bahagian vii berkenaan.
- Lantai dan dinding dalam yang kebanyakan dari bahan kayu sering gagal dalam mematuhi kehendak-kehendak berkenaan. Meroboh dinding dalaman dalam bangunan warisan kategori 1 dan 2 akan menyebabkan keunikan binaan rumah kedai dan bangunan warisan ini tergugat. Penambahan berat bahan baru seperti lantai konkrit dan struktur lain akan menyebabkan struktur asal terdedah kepada bahaya lebihan beban. Penggunaan bahan binaan tahan api yang ringan dan mesra warisan adalah digalakkan. Penggunaan slab konkrit bagi menggantikan lantai kayu sediada untuk bangunan warisan kategori 1 dan 2 wajar dielakkan. Penggunaan slab konkrit hanya boleh digunakan di bahagian tandas dan bilik mandi.
Berikut adalah beberapa cadangan bagaimana untuk mematuhi kehendak-kehendak bagi mengawal kebakaran berkenaan;
- Siling tahan kebakaran;
- Cat tahan api yang sesuai digunakan untuk permukaan kayu;
- elemen seperti bahan lutsinar seperti kaca yang membolehkan bahan binaan asal kekal secara visual;
- bahan binaan dinding yang tahan api tetapi ringan yang boleh ditanggalkan, jika tidak lagi diperlukan tanpa merosakkan fabrik asal berkenaan; dan
- pemasangan pintu tahan api yang diluluskan adalah salah satu dari kehendak Jabatan Bomba untuk dipatuhi. Pemasangan ini akan menyebabkan pintu sedia ada yang kadangkala mempunyai motif, reka bentuk dan rangka yang menarik terpaksa dibuang. Satu pendekatan yang kreatif perlu dikenalpasti supaya pintu sediada boleh digunakan dan dikekalkan sementara kehendak keselamatan Jabatan Bomba masih boleh ditunaikan.
Memelihara Panorama, Vista Dan Mercu Tanda
Panorama, vista dan mercu tanda merupakan ringkasan kepada cerita sosial dan budaya satu-satu tamadun dan penempatan. Memelihara elemen seperti ini akan menjadi satu aset pelancongan dan warisan bandar. Skap jalan merupakan bingkai vista yang sangat penting yang mengarah ke satu titik tumpu atau mercu tanda.
Untuk Pekan Lama Ipoh yang mempunyai lorong belakang dan laluan seperti Lorong Panglima dengan nilai vista dan panorama yang unik ke arah Menara Jam, laluannya perlu dipelihara supaya tidak dihalang oleh perabot jalan, pokok, tiang lampu atau papan tanda. Vista dari arah Pekan Lama ke Jambatan Hugh Low merupakan satu pemandangan dan panorama yang menarik dan wajar dipelihara dengan memastikan bangunan warisan dikekalkan dan tiada bangunan baru melebihi 18m dibina di sepanjang vista ini.

Panorama Sungai Kinta yang pernah menjadi nadi Pekan Ipoh sangat penting untuk dipelihara dan dijadikan elemen atau komponen pelancongan yang utama.
Aktiviti Kebudayaan & Cara Hidup
Panorama Sungai Kinta yang pernah menjadi nadi Pekan Ipoh sangat penting untuk dipelihara dan dijadikan elemen atau komponen pelancongan yang utama.
Core Zone terdiri dari pelbagai tipologi bangunan dan aktiviti harian yang melambangkan keadaan semasa pembangunan persekitaran warisan. Keunikan Pekan Lama dan Pekan Baru ini terletak kepada kesinambungan antara bangunan warisan dan cara hidup harian, iaitu seperti makanan, perniagaan dan keagamaan. Mengembalikan nostalgia seperti beca, basikal dan kenderaan lain yang sinonim dengan Pekan Ipoh akan dapat menjadikan zon warisan unik dan menarik.
Mengekalkan aktiviti perniagaan yang pernah popular dalam Pekan Ipoh dalam konsep yang besesuaian akan dapat menambahkan warna dan sesuai untuk semua golongan umur. Cabaran utama bagi menjadikan Pekan Ipoh sebagai bandar warisan yang lestari dan penuh dengan aktiviti yang bersesuaian boleh menarik kembali penghuni muda supaya kekal tinggal dalam core zone selepas waktu bekerja. Pekan Ipoh ini hendaklah ditambahbaik dengan konsep budaya selamat dan mesra OKU.