Laman Bermaklumat

Jabatan Perancangan Bandar

Sekolah Anderson Ipoh

  • Bangunan_awal_Sekolah_Anderson_Douglas Road 1909
  • Sek_Anderson_1931

Sekolah Menengah Anderson telah dibuka dengan rasminya pada 6hb. Februari, 1909, mengambil sempena nama Sir John Anderson, iaitu Pesuruhjaya Inggeris ketika itu. Perlunya sekolah ini ditubuhkan ialah kerana murid-murid Melayu mendapati sukar untuk mendapat tempat di Maktab Melayu Kuala Kangsar yang telah ada sejak 1905. Atas sebab-sebab agama pula, ibu bapa Melayu enggan menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Inggeris yang telah sedia ada seperti Anglo-Chinese School.

Mengikut Laporan tahunan Negeri-negeri Bersekutu Tanah Melayu 1907, sekolah ini disebut sebagai, sekolah Inggeris Kerajaan yang besar bagi lelaki dan memakan belanja sebanyak $45,000.00 ketika itu.

Lt. Col. J. H, Tyte, iaitu Penolong Kanan di Victoria Institution telah dilantik menjadi Guru Besar pertama, bersama-sama dengan seorang guru terlatih dan 5 orang murid tua Victoria Institution serta Mr. E. C. Smith yang menjadi Penolong Kanan, sebagai tenaga pengajar.

Sehingga 1937 apabila FMS Education Code dikuatkuasakan, setiap guru besar bebas untuk mengenalkan apa-apa mata pelajaran pun. Pada 1958, Sekolah rendah dijadikan Sekolah Rendah Cator Avenue. Sekolah Menengah pula menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan yang mendapat bantuan penuh.

Bangunan pertama, di Jalan Douglas (kini Pejabat Agama Perak) telah direka oleh jurubina tempatan, iaitu Mr. C. H. La Brooy. Bilangan pelajar ialah 52 orang. Tiap-tiap meja murid panjangnya 8 kaki dan boleh diduduki oleh 4 orang. Masa persekolahan ialah dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang dengan masa kelepasan untuk makan tengahari.Kelulusan paling tinggi dari tahun 1910 - 1921 ialah Darjah 7 (sekarang Tingkatan 3). Yuran sebanyak $2.00 dikenakan, iaitu satu bayaran yang tinggi ketika itu.Permainan hoki telah diperkenalkan oleh Guru Besar yang menjadi pemain hoki mewakili Selangor dan Perak. Pasukan sekolah terpaksa bermain dengan kelab-kelab atau pasukan negeri kerana tidak terdapat pasukan-pasukan dari sekolah-sekolah lain.

Semasa zaman penaklukan Jepun, sekolah ini pernah dijadikan ibu pejabat tentera Jepun. Persekolahan dibuka semula 24hb September 1945 selepas ditutup selama 44 bulan ketika kemasukan Jepun di Perak. Pada tahun 1957, sekolah menengah dan rendah ini disatukan,yang melibatkan 25 bilik untuk sekolah rendah dan 12 bilik untuk sekolah menengah. Dalam tahun 1958, sekolah rendah dijadikan sekolah Cator Avenue dan sekolah menengah pula menjadi SMJK Anderson dan mendapat bantuan penuh kerajaan. Dalam tahun 1956, Sekolah Anderson menjadi sekolah yang terbesar di Kinta dengan bilangan murid seramai 2144 orang pelajar.