Laman Bermaklumat

Jabatan Perancangan Bandar

APAKAH PERANAN AWAM DALAM PENYEDIAAN RANCANGAN PEMAJUAN?

Anda selaku orang awam boleh menyumbang pendapat konstruktif sebagai input dalam perancangan bandar melalui penyertaan awam pada peringkat publisiti dalam proses penyediaan rancangan pemajuan;

 

Penyertaan Awam merupakan satu proses yang penting dalam perancangan bagi memastikan rancangan pemajuan seperti rancangan struktur (RS) dan rancangan tempatan (RT) dapat memenuhi hasrat dan pandangan masyarakat umum;

Dalam keseluruhan konteks proses penyediaan rancangan pemajuan, penglibatan awam akan dilaksanakan dalam peringkat publisiti. Keperluan publisiti telah diperuntukkan dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), di bawah subseksyen 9(1) yang mana :

Pengarah Negeri hendaklah memastikan bahawa publisiti diberikan di dalam Negeri semasa penyediaan draf RS bagi kawasannya dan mengambil langkah-langkah berikut:-

  1. Memberi maklum kepada orang awam bahawa mereka adalah berhak dan berpeluang untuk membuat representasi kepada Pengarah Negeri berkenaan dengan perkara-perkara yang dicadangkannya dalam rancangan pemajuan itu;
  2. Pengarah Negeri hendaklah menimbangkan tiap-tiap representasi yang dibuat kepadanya dalam tempoh yang ditetapkan;
  3. Menyiarkan, dalam tiga keluaran daripada sekurang-kurangnya dua akhbar tempatan, suatu notis menyatakan bahawa salinan rancangan itu boleh didapati untuk diperiksa di pejabat Pengarah Negeri dan di tempat lain yang ditentukannya dan masa yang bantahan terhadap rancangan itu boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN); dan
  4. Menyediakan salinan rancangan itu untuk diperiksa di tempat yang dinyatakan dalam notis itu; dan setiap salinan hendaklah disertakan dengan suatu pernyataan mengenai masa, sebagaimana yang dinyatakan dalam notis itu, yang bantahan terhadap rancangan itu boleh dibuat kepada JPN.

Seksyen 12A,  Akta 172 menjelaskan ;

  • Publisiti diberikan di dalam kawasannya mengenai draf RT yang akan disediakan, matlamatnya dan maksud bagi penyediaannya, dan perkara yang Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) bercadang untuk memasukkannya ke dalam rancangan itu; dan
  • Bahawa orang yang mungkin dijangka ingin mendapat peluang untuk membuat representasi kepada PBPT itu berkenaan dengan perkara itu menyedari bahawa mereka berhak mendapat, dan diberi peluang untuk berbuat demikian.

Seksyen 13, Akta 172 memperuntukkan :

  • Menyediakan salinan draf RT itu untuk diperiksa di pejabatnya dan di tempat lain yang ditentukannya; dan setiap salinan yang disediakan untuk diperiksa hendaklah disertakan dengan suatu pernyataan mengenai masa, sebagaimana yang dinyatakan dalam notis yang disiarkan di bawah subseksyen (2), Akta 172, yang bantahan terhadap atau representasi berkenaan dengan draf RT itu boleh dibuat kepada PBPT;
  • PBPT hendaklah menyiarkan, dalam tiga keluaran daripada sekurang-kurangnya dua akhbar tempatan, satu daripadanya dalam bahasa kebangsaan, suatu notis yang menyatakan tarikh salinan draf RT itu akan mula tersedia untuk diperiksa, tempat di mana ia akan tersedia untuk diperiksa dan masa, yang hendaklah tidak kurang daripada empat minggu dari tarikh salinan draf RT itu mula tersedia untuk diperiksa, yang bantahan terhadap atau representasi berkenaan dengan draf RT itu boleh dibuat kepada PBPT; dan
  • Subseksyen 13(3), Akta 172 memperuntukkan masa yang dinyatakan dalam notis di bawah subseksyen (2), Akta 172 bagi membuat bantahan terhadap atau representasi berkenaan dengan draf RT boleh dilanjutkan sekali oleh PBPT selama tidak lebih daripada empat minggu atas permohonan mana-mana orang.