Laman Bermaklumat

Jabatan Perancangan Bandar

'Home Office'

Garis Panduan Kawalan Perancangan Home Office

Latarbelakang

  1. Konsep ‘bekerja dari rumah’ atau lebih dikenali Home Office merujuk kepada mereka yang bekerja dari kediaman mereka, sama ada di rumah sesebuah, rumah berkembar ataupun teres.
  2. Konsep ini membolehkan seseorang mendapatkan sumber pendapatan ataupun kerjaya yang separa masa bagi memperolehi pendapatan sampingan untuk keluarga mereka.
  3. Di Malaysia, konsep bekerja dari rumah telah mula dipraktikkan oleh masyarakat tempatan tetapi belum lagi diamalkan secara meluas. Kini, terdapat sebahagian individu yang telahpun menjalankan kegiatan bekerja dari rumah secara kecil-kecilan atau secara sepenuh masa seperti syarikat guaman, jururuding dan sebagainya. Aktiviti ini dijalankan secara tidak berlesen dan adakalanya mendapat bantahan daripada penduduk setempat.
  4. Namun begitu, Pihak Berkuasa Tempatan belum lagi mengambil langkah kawalan khusus berkaitan dengannya.
  5. Oleh itu, adalah perlu agar satu dasar yang sesuai dirangka untuk kegunaan kelulusan.

 

GarisPanduan

Syarat-syarat yang perlu dipatuhi adalah seperti berikut :-

  1. Aktiviti ini boleh dibenarkan di rumah sesebuah, berkembar atau rumah teres.
  2. Aktiviti yang dibenarkan hendaklah tidak menyebabkan penggunaan premis kediaman ditukarkan kepada pejabat ataupun perniagaan.
  3. Orang yang menjalankan Home Office perlu terus tinggal menggunakan premis kediamannya sebagai tempat tinggal dan menghadkan aktiviti perniagaan di kawasan kediamannya.
  4. Masa operasi bagi aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai premis kediaman berkenaan dihadkan sehingga 10.00 malam sahaja.
  5. Tidak boleh menghasilkan sebarang bentuk pencemaran bunyi, asap, bau, kimia / cecair buangan atau debu yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselesaan penduduk sekitar.
  6. Tidak menjalankan penjualan barang-barangan.
  7. Tidak mempamerkan poster atau iklan-iklan yang mengganggu pandangan.
  8. Memastikan aktiviti tersebut tidak mendatangkan bahaya kepada penduduk atau kerosakan harta benda.
  9. Tidak boleh menggaji lebih daripada 2 orang pekerja.
  10. Kebenaran Merancang hanyalah bagi tempoh satu tahun sahaja. Walau bagaimanapun, tempoh lanjutan Kebenaran Merancang boleh diberi jika Majlis berpuashati bahawa segala peraturan telah dipatuhi.
  11. Lesen perlu dipamerkan dengan jelas di dalam premis kediaman.
  12. Tanda perniagaan berbentuk sticker perlu dipamerkan pada pintu masuk premis kediaman.
  13. Mematuhi syarat-syarat Jabatan Bomba dan Penyelamat.
  14. Mematuhi syarat-syarat Jabatan Kesihatan, Majlis Bandaraya Ipoh.
  15. Mematuhi syarat-syarat Bahagian Lalulintas, Jabatan Kejuruteraan, Majlis Bandaraya Ipoh.
  16. Mendapat perakuan daripada Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat sekiranya pemohon terdiri daripada golongan berikut :-
    • Wanita;
    • Orang kurang upaya;
    • Warga emas.

 

Dibenarkan

Jenis Aktiviti Yang DIBENARKAN

  1. Perkhidmatan kewangan seperti menyimpan buku kira-kira, mengaudit cukai pendapatan dan pelaburan;
  2. Khidmat setiausaha syarikat;
  3. Pengurusan dan penjualan hartanah;
  4. Penterjemahan;
  5. Penulisan;
  6. Mencipta dan menjalankan pengurusan kandungan laman web serta perkhidmatan IT dan e-commerce;
  7. Perundingan latihan;
  8. Rekaan grafik dan melukis pelan;
  9. Perkhidmatan insuran;
  10. Perkhidmatan penyediaan wasiat;

 

Dibenar Bersyarat

Jenis Aktiviti Yang Dibenarkan Dengan Syarat

  1. Tuisyen yang tidak melebihi 8 orang pelajar pada satu-satu masa.
  2. Penyediaan produk-produk makanan dan minuman secara kecil-kecilan tanpa melibatkan penggunaan mesin;
  3. Perkhidmatan event manager;
  4. Perkhidmatan rawatan / salun kecantikan;
  5. Perkhidmatan urut terapi dan refleksologi;
  6. Perkhidmatan jahitan secara kecil-kecilan;
  7. Perkhidmatan pos mini; dan
  8. Lain-lain aktiviti yang tidak menimbulkan masalah kacau ganggu.

 

Tidak dibenarkan

Jenis Aktiviti Yang TIDAK DIBENARKAN

  1. Agensi Mencari Kerja/Pembantu Rumah. :-
  2. Pejabat Kontraktor.
  3. Penjualan Kereta.
  4. Sekolah swasta seperti sekolah muzik dan tarian.
  5. Penghantaran courier.
  6. Pengilangan / penyediaan / pemprosesan produk dan barangan seperti penyediaan makanan, tekstil, beg tangan, kasut, produk kayu dan kertas, sabun, bahan kimia, gelas dan lain-lain yang berkaitan.
  7. Penyediaan bahan-bahan perubatan.
  8. Perniagaan yang berkaitan kedai runcit termasuk kedai binatang.
  9. Restoran/katering.
  10. Membaiki barangan rumah seperti produk elektrik , perabot dan lain-lain.
  11. Penjualan barangan IT.
  12. Lain-lain aktiviti yang boleh menimbulkan masalah kacau ganggu.