Laman Bermaklumat

Jabatan Perancangan Bandar

Garispanduan Perindustrian

Mengikut seksyen 117 (1) (a), Kanun Tanah Negara, kegunaan perindustrian adalah untuk maksud membina atau menyelenggarakan kilang, bengkel, fondri, gudang, limbungan, jeti, keretapi atau bangunan atau pemasangan lain untuk digunakan atau berhubung dengan satu maksud atau lebih dari maksud-maksud yang berikut :

 

  1. Mengilang
  2. Melebur
  3. Pengeluaran dan penyebaran kuasa
  4. Penyimpanan, pengangkutan atau penyebaran barang atau barangan lain.

Apa-apa maksud lain seperti nmana Pihak Berkuasa Negeri mungkin menentapkan bagi maksud seksyen ini oleh kaedah-keaedah di bawah seksyen 14, Kanun Tanah Negara. 


Latarbelakang



Mengikut Kelas Kegunaan, pembangunan perindustrian dan dapat dibahagikan kepada kategori berikut :

  1. Perniagaan perkhidmatan (mana-mana yang berkaitan)
  2. Industri ringan
  3. Industri Umum - Kategori A
  4. Industri Umum - Kategori B
  5. Industri Khas
  6. Penyimpanan atau pengagihan.

Walau ianya merupakan satu faktor yang penting untuk membangunkan ekonomi sesebuah bandar tetapi ianya juga membawa beberapa masalah seperti berikut :

  1. Penyediaan tapak kilang yang tidak teratur menyulitkan penyediaan infrastruktur.
  2. Kedudukan kilang-kilang di luar zon terutama di kawasan perumahan menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk berhampiran.
  3. Terdapatnya beberapa jenis kilang yang menimbulkan masalah persekitaran yang buruk dan mencemarkan.
  4. Masalah kemudahan-kemudahan yang kurang sempurna di kawasan perindustrian.
  5. Rawatan sisa-sisa buangan cecair dan pepejal yang tidak menitik beretkan masalah alam sekitar.

Tujuan

Garis panduan ini disediakan untuk tujuan berikut :

  1. Menyediakan kawasan perusahaan yang sempurna dan lengkap dengan segala kemudahan-kemudahan yang diperlukan bagi menggalakkan pelaburan dan meningkatkan taraf ekonomi bandar.
  2. Mengawal supaya aktiviti perindustrian tidak menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk-penduduk di kawasan perumahan berhampiran.
  3. Mengawal supaya kawasan perindustrian tidak menyebabkan kesan pandangan yang buruk dan kotor.
  4. Mengawal supaya sisa-sisa buangan cecair dan pepejal dirawat dengan sempurna.

 

Garispanduan

Garis panduan ini adalah untuk menyediakan piawaian yang terperinci mengenai pembangunan perindustrian. Pembangunan perindustrian perlu mematuhi syarat-syarat berikut :


Kategori Guna Tanah

  1. Semua aktiviti pembangunan perindustrian hanya boleh dibenarkan di atas tapak kategori guna tanah perindustrian kecuali aktiviti-aktiviti di bawah kategori perniagaan perkhidmatan yang boleh dipertimbangkan di atas tapak perdagangan.
  2. Pembangunan di atas tapak selain daripada perindustrian hendaklah mendapat kelulusan tukar syarat kepada perusahaan daripda Pihak Berkuasa Negeri sebelum memulakan pembangunan.

Pelan Tatatur dan Pelan Pinta Ukur (P.U.)

  1. Pelan Tatatur dan Pelan P.U. hendaklah dikemukakan untuk kelulusan MBI.
  2. Pembangunan yang melebihi 2 Hektar hendaklah dikemukakan oelh Jururancang Bertauliah.

Saiz Lot

Keluasan Lot akan dipecah sempadan mengikut jenis inudstri seperti berikut :

Perusahaan Berat

  1. 1 ekar ke atas

Perusahaan Ringan

  1. 0.5 ekar ke atas

Perniagaan Perkhidmatan

  1. Lot/Kilang sesebuah : kurang dari 0.5 ekar
  2. Lot berkembar : 80' x 45'
  3. Lot Teres : 80' x 22'

Industri Bertingkat (Flatted Industry)

  1. 1 ekar ke atas

Ketinggian Bangunan

  1. Ketinggian bangunan di atas tapak yang kurang daripda 1 ekar tidak dibenarkan melebihi 2 tingkat.
  2. Ketinggian bangunan di atas tapak yang melebihi 1 ekar dibenarkan sehingga 4 tingkat.
  3. Ketinggian bangunan bagi kategori industri bertingkat 'flatted industry' adalah tidak melebihi 6 tingkat.


Zon Pemisah (Green Belt)

i. Kawasan hijau berukuran 66' hendaklah di sediakan dan di lanskap bagi memisahkan sempadan pembangunan perindustrian dengan pembangunan lain.

ii. Zon pemisah di antara kawasan perindustrian dan jalan utama hendaklah disediakan seperti berikut :

  1. Kawasan hijau berukuran 66' di sepanjang sempadan kawasan perindustrian dengan jalan utama yang mempunyai jalan susur 66'.
  2. Kawasan hijau berukuran 132' disepanjang sempadan kawasan perindustrian dengan jalan utama yang tidak mempunyai jalan susur.
  3. Jarak pemisah (buffer zone) di antara kawasan kediaman yang terdekat dengan aktiviti Industri adalah bergantung kepada jenis industri mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar.


Rizab Simpanan Khas

i. Rizab simpanan khas seluas 3 % daripada keluasan tapak hendaklah disediakan sekiranya pembangunan tersebut melebihi 50 ekar.

ii. Rizab simpanan khas tersebut hendaklah di serahkan dan dikawal oleh MBI.

{slide=Kemudahan-kemudahan yang diperlukan.}

i. Kemudahan-kemudahan hendaklah disediakan mengikut keperluan.

ii. Kemudahan-kemudahan yang perlu dipertimbangkan adalah seperti berikut :

  1. Rizab surau
  2. Pusat Penjaja
  3. Sistem Rawatan pusat


Hirarki Jalan

i. Ukuran Jalan bagi kawasan perindustrian adalah seperti berikut :

  1. Jalan masuk Utama : 100'
  2. Jalan Pengumpul : 66'
  3. Jalan Tempatan : 50'

ii. Jalan masuk kekawasan perindustrian hendaklah dipisahkan dengan jalan masuk ke kawasan perumahan.

iii. Cul-de-Sac tidak dibenarkan bagi kawasan perindustrian.



Aktiviti Industri yang dibenarkan

i. Industri Perkhidmatan

  1. Aktiviti industri perkhidmatan dibenarkan di semua kawasan perindustrian.

ii. Industri Ringan

  1. Aktiviti industri ringan dibenarkan di semua kawasan perindustrian.

iii. Industri Berat

  1. Aktiviti industri khas hanya dibenarkan dalam zon perindustrian berat sahaja.
  2. Aktiviti industri khas yang mengakibatkan pencemaran dan kesan pandangan buruk tidak dibenarkan di atas lot perindustrian yang berhadapan jalan utama tanpa zon pemisah.


Kawasan sekeliling bangunan

Anjakan Hadapan

  1. Jarak antara bangunan dengan sempadan jalan mestilah tidak kurang dari 20'.
  2. Jarak antara bangunan dengan sempadan jalan utama (132') mestilah tidak kurang dari 40'.

Anjakan Tepi

  1. Jarak antara bangunan dengan sempadan tepi mestilah tidak kurang dari 10'.
  2. Jarak antara bangunan dengan sempadan tepi yang mengadap jalan mestilah tidak kurang dari 20'.

Anjakan Belakang

  1. Jarak antara bangunan dengan sempadan belakang mestilah tidak kurang dari 10'.

Rumah Pengawal

  1. Bangunan rumah pengawal yang mempunyai keluasan tidak melebihi 10'x12' boleh dibina hingga sempadan.
  2. Bangunan rumah pengawal dengan keluasan di antara 10' x 12' dan 12' x 22' hendaklah menyediakan anjakan tidak kurang dari 10'.
  3. Bangunan rumah pengawal dengan keluasan yang melebihi 12'

Tempat Letak Kereta / Lori

  1. Keperluan tempat letak kereta dan lori hendaklah disediakan mengikut Undang-undang Kecil Tempat Letak Kereta.
  2. Keperluan tempat letak kereta bagi aktiviti perindustrian hendaklah disediakan sepenuhnya dan tidak dibenarkan diganti dengan membayar caruman tempat letak kereta.
  3. Keluasan  ruang  lantai bagi aktiviti lain seperti pejabat, kantin dan lain-lain yang melebihi 100 kp hendaklah dikira berasingan daripada kegunaan perindustrian mengikut piawaiannya.  Bagaimana pun jika ianya kurang daripada 1000 kp ianya hendaklah dikira bersama ruang yang digunakan untuk perindustrian.

Landskap

  1. Pokok-pokok teduhan hendaklah ditanam di dalam kawasan kilang terutama di bahagian hadapan dan mendapat kelulusan MBI.
  2. Penanaman pokok-pokok hiasan juga adalah digalakkan.
  3. Kawasan zon pemisah hendaklah ditanam dengan tanaman penghadang yang sesuai.